Pihak istana telah membuka 1 peluang pekerjaan kepada penduduk kampung untuk menjadi seorang raja. Sesiapa yang menjadi raja akan dapat kemewahan dan keistimewaan seorang raja, akan tetapi peraturan utamanya ialah seseorang itu hanya menjadi raja selama 10 tahun sahaja & selepas tempoh 10 tahun tersebut, dia akan dibuang di sebuah pulau terbiar.
Datanglah seorang lelaki yang menginginkan jawatan menjadi raja tersebut.
Pihak istana: Betulkah saudara inginkan jawatan sebagai raja ini?
Lelaki 1: Ya, betul!
Pihak istana: Tetapi saudara hanya menjadi raja cuma 10 tahun sahaja.
Lelaki 1: Tidak mengapa asalkan saya boleh merasai hidup mewah.
Pihak istana: Setelah 10 tahun berkhidmat sebagai raja, saudara akan dibuang di sebuah pulau terbiar. Itu syaratnya.
Lelaki 1: Ya, saya faham.
Lelaki tersebut bersetuju menandatangani perjanjian perkerjaan itu dan dia pun menjadi raja di perkampungan tersebut.
Selama 10 tahun lelaki tersebut bergelar raja, hidupnya penuh kemewahan. Segala apa yang dikehendakinya, dituruti oleh rakyat jelata. Lelaki itu berasa sangat gembira.
Akan tetapi, tempoh 10 tahun yang dijanjikan sudah sampai ke penghujungnya. Lelaki tersebut berasa masih belum puas untuk meninggalkan kehidupan mewahnya & berharap dia boleh bertahan lebih lama lagi sebagai raja. Dia cuba untuk mengubah perjanjian tersebut menggunakan kuasanya sebagai seorang raja. Namun, perjanjian itu tidak boleh diubah.
Akhirnya, setelah tamat tempoh 10 tahun bergelar raja, dia telah dihantar ke sebuah pulau terbiar untuk tinggal di situ buat selamanya. Di pulau itu tiada tempat tinggal untuknya & keadaan serba daif / kekurangan. Lelaki itu menjadi depressi dan akhirnya meninggal dunia.
Di kampung tersebut pula, jawatan sebagai raja dibuka semula memandangkan mereka memerlukan seorang raja. Syaratnya masih kekal. Beberapa pemuda telah menjawat jawatan raja tersebut, akan tetapi, bila tamat tempoh 10 tahun yang di janjikan, nasib mereka sama seperti lelaki 1 tadi.
Setelah beberapa kali bertukar raja, tiada siapa yang inginkan jawatan raja tersebut kerana tidak mahu kehidupan mereka berakhir seperti kesemua lelaki yang telah menjawat jawatan itu sebelum ini. Pihak istana tidak berputus asa mencari calon untuk memegang jawatan tersebut.
Suatu hari, terdapat seorang pemuda ingin memohon jawatan tersebut. Dia seorang yang bijak dan pihak istana juga berkenan untuk menjadikan pemuda itu sebagai raja. Tetapi dia dilarang oleh penduduk kampung dan mengingatkan dia akan nasib yang menimpa bekas-bekas raja sebelum itu. Pemuda itu tidak memperdulikan larangan penduduk kampung, dan terus menandatangani perjanjian.
Pada hari pertama bergelar raja, pemuda itu meminta pihak istana membawanya ke pulau terbiar tersebut. Setelah melihat-lihat keadaan pulau itu, keesokkannya, raja telah menitahkan pihak istana membina rumah & menambah beberapa perkara di pulau itu.
Hampir setiap hari pekerja-pekerja istana bekerja keras mengindahkan pulau tersebut atas arahan raja. Sehingga tamatlah tempoh 10 tahun pemerintahannya, si pemuda itu telah bersedia untuk dibuang ke pulau terbiar itu. Alangkah gembiranya hati pemuda itu kerana penat lelahnya selama 10 tahun itu berbaloi dengan segala kelengkapan untuk keperluannya di pulau itu. Maka hiduplah pemuda tersebut di pulau tersebut dengan tenang dan gembira sepanjang hayatnya.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Apa pengajaran yang diperolehi dari kisah ini?
Ya, cerita tersebut adalah analogi kepada kehidupan seorang manusia di dunia ini.
Pemuda yang menjadi raja = manusia
Istana & segala kemewahannya = dunia dan segala keindahannya
Tempoh 10 tahun memerintah = usia kita di dunia
Pulau raja dibuang selepas tamat 10 tahun pemerintahan = kehidupan / hasil di akhirat nanti
Raja yang pertama itu diibaratkan seorang manusia yang berada di dunia, yang lupa akan kehidupan di akhirat dan hanya berhibur tanpa mempersiapkan diri dan bekalan untuk kehidupan di akhirat nanti.
Manakala raja yang terakhir itu diibaratkan seorang manusia yang berada di dunia, tetapi sentiasa ingat akan "tempoh waktu" dia berada di dunia ini hanyalah singkat dan sentiasa bersedia untuk mempersiapkan diri dan bekalan yang akan dibawa ke akhirat nanti.
Tepuk dada, tanya Iman.
*Sumber cerita: Twin of Faith Conference Malaysia 2018. Insya-Allah, info-info yang saya dapat di conference itu akan saya kongsikan nanti. InsyaAllah
P/s: gambar-gambar yang terdapat di entry ini semuanya hasil carian google
No comments:
Post a Comment