“Assalamualaikum, Mas. Saya nak tanya, di
blok awak ada air tak sekarang ni?” Soal Nur Izzatul Hani sebaik sahaja Nurul
Afiqah Mastura menjawab panggilan telefonnya…
“Waalaikumusalam, Hani. Ada je air di blok
saya ni. Kenapa?” soal Nurul Afiqah Mastura, pelik kerana tiba-tiba Nur Izzatul
Hani bertanya sebegitu.
“Di blok saya tak ada air langsung
sekarang ni. Saya ingat nak tumpang mandi di blok awak. Boleh kan?”
“Oooo, boleh, boleh. Awak datanglah sini.
Bilik saya nombor 17 tau.”
Selepas menamatkan perbualan singkat
tersebut, Nur Izzatul Hani terus bersiap-siap dan mencapai kelengkapan
mandinya. Setelah itu, dia bergerak menuju ke bilik rakannya, Nurul Afiqah
Mastura yang terletak di blok yang bersebelahan dengan bloknya.
‘Tok, tok’ Hani mengetuk pintu bilik Nurul
Afiqah Mastura. “Assalamualaikum, Mas.” Perlahan Nur Izzatul Hani memberi
salam. Terdengar bunyi kunci pintu bilik dibuka dari dalam dan Nurul Afiqah Mastura
menjengukkan mukanya.
“Oh, Hani. Masuklah.” Nurul Afiqah Mastura
mempelawa. Nur Izzatul Hani melangkah masuk dan duduk di birai katil Nurul
Afiqah Mastura.
“Kenapa di blok awak tak ada air Hani?”
tanya Nurul Afiqah Mastura sebaik sahaja Nur Izzatul Hani melabuhkan
punggungnya.
“Saya pun tak tahulah Mas. Tiba-tiba je
tak ada air. Tadi masa saya on the way nak ke sini pun, saya nampak
ramai penghuni blok saya datang mandi kat sini juga.” Jawab Nur Izzatul Hani
sambil membuka tudung yang dipakainya. Sejujurnya, dia sendiri pun tidak tahu
kenapa bloknya tiada bekalan air ketika itu.
“Tak ada apa-apa notis ke?” Tanya Nurul Afiqah Mastura
lagi.
“Tak ada pun. Tak tahulah kalau saya yang tak perasan
ada notis dinaikkan. Eh, Mas, saya pergi mandi dulu ye. Nak Maghrib dah ni.”
Nurul Afiqah Mastura mengangguk. Lantas
Nur Izzatul Hani melangkah menuju ke bilik air. Selesai sahaja membersihakan
diri dan mengambil air sembahyang, Nur Izzatul Hani kembali semula ke biliknya
dan berjanji dengan Nurul Afiqah Mastura untuk keluar makan malam selepas
menunaikan solat Maghrib.
Sesudah menunaikan solat Maghrib, Nur
Izzatul Hani bersiap-siap untuk keluar makan malam. Sesampainya di kedai makan,
Nur Izzatul Hani terus memesan nasi goreng seafood dan teh ais manakala Nurul
Afiqah Mastura pula memesan hidangan mi hailam dan air laici ais sebagai juadah
makan malam mereka.
“Hani, awak nak tahu, tadi masa saya nak
keluar, di blok saya pun dah mula tak ada air.” Ujar Nurul Afiqah Mastura.
“Ye ke? Kenapa tiba-tiba tak ada air ye?
Peliklah.” Nur Izzatul Hani berfikir-fikir. “Jadi sekarang ni, cuma blok
Jelawat sahajalah yang ada air kan?” Soal Nur Izzatul Hani lagi.
“Mungkin lah kot.” Jawab Nurul Afiqah
Mastura pendek.
“Pelik. Kenapa tiba-tiba tak ada air ye?
Tak pernah-pernah jadi macam ni.” Nur Izzatul Hani masih berfikir-fikir.
“Hehe. Bagi saya tak pelik sangat Hani.
Sejak ada renovation tandas di kolej kita ni, blok saya memang selalu tak ada
air masa petang. Tapi nanti dalam pukul 10, ada balik lah air tu.”
“Yeke? Harap-harap betullah kata awak. Ni
pertama kali saya mengalami masalah air macam ni kat blok saya.”
Makanan tiba. Mereka berdua begitu
berselera menjamah hidangan panas yang dipesan. Lupakan sejenak masalah air
yang sedang dihadapi sambil berborak mengenai berbagai perkara. Sesudah makan
malam, mereka terus pulang ke kolej kediaman. Sesampainya di kolej, mereka
melihat ramai penghuni blok Kalui dan Kelah berpus-pusu menuju ke blok Jelawat
untuk membersihkan diri..
Di dalam bilik, setelah menunaikan solat
Isyak, Nur Izzatul Hani melayari laman sosial facebook. Ketika itu barulah dia
terperasankan notis mengenai gangguan bekalan air yang dikeluarkan oleh Syabas.
UPM merupakan salah-satu tempat yang turut mengalami gangguan tersebut.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Nur
Izzatul Hani bergerak menuju ke blok Jelawat untuk membersihkan diri, mandi dan
menunaikan solat Subuh. Sehingga sekarang masih belum terdapat tanda-tanda air
akan pulih di bloknya. Bagi dirinya, keadaan ini amat menyusahkan. Nak mandi
dan membersihkan diri, terpaksa pergi ke blok lain. Nak menunaikan solat pun,
dia terpaksa menggunakan sebotol kecil air mineral yang disimpannya di dalam
bilik.
“Hani, awak dah mandi?” Tanya Nurul Afiqah
Mastura sejurus menelefon Nur Izzatul Hani. Ketika itu jam sudah menunjukkan
pukul 9.
“Saya dah mandi pagi tadi. Saya mandi di
blok Jelawat. Kenapa Mas?” Tanya Nur Izzatul Hani kembali.
“Saya nak mandi, tapi air di blok Jelawat
pun dah habis.” Adu Nurul Afiqah Mastura.
Situasi ini berlanjutan sehingga petang.
Bukan di kolej kediaman Nur Izzatul Hani sahaja yang mengalami gangguan air,
malah di kolej-kolej kediaman lain pun mengalami gangguan air yang sama. Pendek
kata, 1 UPM tak ada air.
Petang itu, ketika Nur Izzatul Hani hendak
menunaikan solat Asar, dia menuju ke bilik air dengan membawa sebotol kecil air
mineral untuk digunakannya mengambil air wuduk nanti. Ketika itu, dia terdengar
perbualan beberapa orang penghuni bloknya mengatakan air sudah kembali ada di
bloknya.
Masuk sahaja ke bilik air, Nur Izzatul
Hani cuba membuka pili air di sinki. Air keluar! Nur Izzatul Hani tersenyum.
“Alhamdulillah”. Dia berasa lega apabila melihat air mengalir keluar dari pili
air itu. Dan malam itu, keadaan air sudah semakin pulih di sekitar kolej
kediamannya dan mungkin juga di sekitar UPM.
Disebabkan peristiwa ketiadaan air ini,
Nur Izzatul Hani berfikir panjang, dan mula mengambil iktibarnya. Selama ini,
air cuma dianggap sebagai sumber kegunaan harian seperti mandi, membasuh baju,
mencuci dan sebagainya. Kadang-kadang manusia terlupa bahawa air ini juga
merupakan salah satu nikmat dari Allah yang perlu disyukuri. Sekejap sahaja
Allah Tarik nikmat air itu, dalam lebih kurang 24 jam sahaja, tetapi seluruh
kolej kediaman Nur Izzatul Hani dan mungkin juga seluruh UPM mula menjadi
kecoh, gelisah, terasa kesusahannya bila tiada air.
Manusia lebih gemar mencari nikmat lain
seperti nikmat kecantikan, kekayaan, jodoh dan sebagainya tetapi lupa nikmat
yang Allah bagi secara automatik. Mungkin bekalan air itu dianggap sebagai
nikmat yang remeh-temeh sahaja selama ini, tetapi bila Allah tarik sekejap
nikmat itu, terasa kesusahannya, terasa tak lengkap hidup. Jadi syukurilah
segala nikmat yang Allah bagi pada kita, dari sekecil-kecil nikmat hinggalah
sebesar-besar nikmat.